Pan Merchant terima kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE
Dagang News - 14 April 2025 View original article
_________________________
KUALA LUMPUR 14 April - Penyedia rumusan penapisan pepejal-cecair terbesar di Malaysia, Pan Merchant Bhd, memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang dicadangkan.
Berikutan kelulusan itu, syarikat dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada suku kedua 2025 (2Q25).
Affin Hwang Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal bagi proses penyenaraian tersebut.
Ditubuhkan sejak tahun 1987, Pan Merchant merupakan peneraju dalam industri penapisan pepejal-cecair dari segi hasil pendapatan.
Syarikat pakar dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan, penghantaran dan pengoperasian sistem penapis, termasuk penapis tekan dan penapis kedap udara di bawah jenama PMI.
Ia juga terlibat dalam reka bentuk dan fabrikasi peralatan berasaskan keluli.
Dengan pengalaman hampir 40 tahun, Pan Merchant kini mempunyai kedudukan yang kukuh di peringkat antarabangsa, apabila lebih 80% produk dieksport ke rantau Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
Syarikat beroperasi melalui pejabat di Malaysia, Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat, serta mempunyai tiga kilang pengeluaran di Ipoh, Perak.
Kemudahan berkenaan dibina di kawasan seluas kira-kira 4.04 hektar dan lengkap denganpelbagai keupayaan pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran global penapisan pepejal-cecair, yang berkembang daripada RM12 bilion pada 2019 kepada RM21.9 bilion pada 2023.
Pengarah Urusan Pan Merchant, Wong Voon Ten berkata, langkah menjadi syarikat tersenarai merupakan satu pencapaian penting yang akan memperkukuh keupayaan kumpulan dan membolehkan syarikat memenuhi permintaan industri dengan lebih berkesan.
"Dengan sumber yang lebih kukuh selepas penyenaraian, kami bersedia untuk terus berinovasi melalui pembangunan produk dan memperluas capaian global menerusi pelan pengembangan strategik kami.”
"Ini sekali gus membolehkan kami mencipta lebih banyak nilai untuk para pemegang kepentingan," katanya dalam satu kenyataan.
Read here.